Pelacuran adalah penjualan khidmat seksual, seperti seks
oral atau hubungan seks, biasanya untuk wang, namun kadang-kadang juga untuk
dadah, barang kemas ataupun hartanah. Seseorang yang melacurkan diri disebut
pelacur. Kebanyakan pelacur adalah perempuan, namun ada juga pelacur lelaki..
Kawasan bandar yang berleluasa dengan gejala tidak bermoral ini contohnya,
kawasan seperti Chow Kit iaitu Lorong Haji Taib,Lorong Changkat, Bukit Bintang
dan Petaling Street merupakan antara kawasan utama kegiatan pelacuran di
Malaysia. Pelacur juga dapat dikelaskan kepada tujuh kategori utama seperti
bohsia, pelacur pasar, pelacur jalanan, pelacur bermajikan, pelacur tukang urut
dan pelayan pusat hiburan, pelacur bebas serta pelacur kehormat.
PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA PELACURAN
Faktor ekonomi
Faktor ekonomi merupakan salah satu punca yang mempunyai
peratusan yang agak tinggi dalam gejala perlacuran ini. Dengan keadaan ekonomi
yang tidak menentu menyebabkan masalah pegangguran, kemiskinan, hutang,
peningkatan kos hidup dan peluang pekerjaan yang tidak seimbang dengan
kelulusan menyebabkan seseorang sanggup melakukan apa sahaja untuk meneruskan
kehidupan. Selain itu,ada juga seseorang yang keinginan untuk hidup mewah
dengan cara mudah tanpa bekerja keras dengan memperolehi wang beribu ringgit
dalam satu masa.
Faktor Sosial
Keruntuhan moral seperti kurang didikan asas agama dan
pengetahuan serta penghayatan agama daripada keluarga menyebabkan nilai murni
budaya dalam sesetengah masyarakat semakin menipis. Oleh yang demikian, tidak
mustahillah bagi mereka yang kurang pegangan agama atau tidak menurut perintah
agama mudah terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral seperti pelacuran ini.
Selain itu, keruntuhan rumahtangga seperti masalah
penceraian dan pergaduhan menyebabkan anak-anak mereka yang usia remaja di
antara lingkungan 12-18 tahun merasa tertekan dan mencari kebebasan dan
keseronokan di luar. Pada usia tersebut, remaja lebih mudah terpengaruh dengan
budaya negatif yang membawa kerugian kepada diri mereka sendiri.
Kezaliman keluarga juga adalah salah satu permasalahan di
dalam faktor sosial. Contoh kezaliman keluarga yang berlaku pada masa ini ialah
melacur kan diri iaitu disebabkan oleh paksaan daripada suami, keluarga dan
pemiutang menyebabkan anak gadis atau isteri mereka sebagai pertukaran.
Akhirnya, anak gadis dan isteri dipaksa melacur untuk membayar hutang keluarga.
Sekiranya tidak mengikut perintah yang disuruh, mereka akan dibelasah, diancam
dan diseksa tanpa belas kasihan. Penglibatan ahli keluarga dalam gejala sosial
seperti penagihan dadah, meminum arak,merokok, mencederakan orang dan kaki
perempuan juga megakibatkan anak-anak mereka mudah terpengaruh kepada gejala
sosial.Selain daripada itu, ibu-ibu tunggal yang tidak mempunyai kemahiran
pendidikan dan pengalaman kerja mudah terjebak apababila hilang punca
sepencarian setelah kematian atau diceraikan oleh suami.
Faktor persekitaran
Faktor luar yang mempengaruhi pelacur daripada terjerumus ke
dalam kegiatan anti-sosial adalah seperti pujukan muncikari (barua), disebabkan
oleh pekerjaan dan mereka dipaksa bekerja. Selain itu juga,sesetengah golongan
remaja yang mudah terpengaruh daripada rakan-rakan apabila mereka mempunyai
permasalahan dalam keluarga, tertekan, perasaan ingin mencuba, pantang dicabar
dan juga terpengaruh kepada perkara-perkara yang negatif daripada media massa
dan media elektronik. Walau bagaimanapun, pelancong luar turut membawa kesan
negatif kepada budaya tempatan. Contohnya seperti segelintir rakyat Malaysia
yang mengagung-agungkan bahasa dan budaya asing terutamanya generasi muda. Hal
ini dapat dilihat melalui tutur kata, pakaian, dan kelakuan generasi muda hari
ini yang bertentangan dengan budaya timur.
KESAN-KESAN DARIPADA PELACURAN
Kesan daripada seseorang yang menjadi pelacur adalah
penyakit berjangkit melalui alat kelamin seperti herpes,sifilis, AIDS dan HIV.
Selain daripada itu, mereka juga boleh mengalami kesan mental dan psikologi
dalam diri apabila menyedari telah jauh menyimpang daripada landasan kehidupan.
Risiko untuk mengandung anak luar nikah juga adalah tinggi. Walaupun mereka
memakan ubat, pil dan sebagainya untuk mengelakkan daripada hamil, namun kesan
daripada melakukan hubungan seks secara kerap memungkinkan mereka untuk hamil
tanpa disedari. Tetapi, adalah mustahil untuk seseorang pelacur untuk
memelihara kandungan apabila mengetahui dirinya mengandung, maka sudah pastilah
mereka akan menggugurkan kandungan tersebut atau berlakunya pembuangan bayi.
Hal ini menambahkan lagi satu permasalahan lain. Kesan lain termasuklah
pengambilan dadah seperti pil khayal dan ecstasy akan dipandang hina oleh
masyarakat, menjatuhkan maruah keluarga dan tiada harga diri. Justeru itu,
memberi kesan kepada masyarakat di negara ini sekiranya kegiatan pelacuran
semakin berleluasa. Masyarakat yang tidak bermoral boleh terbentuk dan
meningkatnya masalah sosial lain di negara ini.
Manakala kesan pelacuran kepada negara pula ialah
menjejaskan imej negara sebagai sebuah negara Islam atau reputasi negara akan
tercemar. Para pelancong asing juga akan memandang negatif terhadap negara ini
dan mereka boleh membuat spekulasi yang tidak sepatutnya. Malah negara terpaksa
menanggung kos yang tinggi bagi membiayai perubatan mereka yang telah
dijangkiti penyakit AIDS dan HIV kerana terpaksa mendapatkan vaksin untuk
memperlambatkan perebakan sel tersebut dan mereka ini seolah-olah mayat hidup
serta tidak mendatangkan hasil kepada negara.
Selain dari itu, terdapat juga kesan negatif terhadap
ekonomi negara seperti terpaksa menanggung perbelanjaan yang besar untuk
program pemulihan dan pencegahan, daya pengeluaran negara terjejas kerana
sumber tenaga yang lemah, membantutkan pembangunan negara serta kurangnya
sumber tenaga yang berkualiti.
CARA-CARA MENGATASI PELACURAN
Mempelbagaikan hukuman seperti mengenakan sebatan, hukuman
penjara dan denda mengikut tahap kesalahan yang dilakukan. Selain itu, bayaran
denda yang dikenakan daripada sindiket-sindiket ini boleh digunakan untuk
tujuan kebajikan bagi membantu rumah kebajikan atau ibu tunggal yang memerlukan
pertolongan. Selain daripada itu, pelucutan visa harus dikenakan terhadap warga
asing terutama bagi ‘ibu ayam’ dan ‘bapa ayam’ yang datang ke Malaysia supaya
mereka tidak berpeluang untuk masuk semula ke negara ini. Bagi pelacur
pula,memberi hukuman denda dan membuat kerja kebajikan kepada pelacur supaya
mereka menyedari apakah erti kehidupan yang sebenar pada diri mereka. Terdapat
juga saranan supaya hukuman mati dikenakan terhadap sindiket-sindiket pelacur
atau dalang besar di sebalik kegiatan ini. Relevannya hukuman ini adalah
tindakan penyeludupan manusia iaitu melibatkan golongan wanita ini telah
menyebabkan pencabulan hak asasi manusia yang serius. Seperti manusia lain,
semua orang berhak untuk hidup dengan aman tanpa sebarang gangguan dan berhak
terhadap kebebasan dirinya. Namun, nasib malang telah menimpa diri mereka yang
dipaksa, ditipu, diperdaya, diculik dan diperangkap untuk menjadi pelacur oleh
sindiket-sindiket.
Selain itu, mewujudkan kempen kesedaran mengenai kesan-kesan
negatif pelacuran sama ada dilacur atau melacur haruslah didedahkan kepada
masyarakat umum supaya mereka sentiasa berwaspada dan mengingatkan orang yang
tersayang agar mengelakkan diri daripada terjerumus ke lembah pelacuran.
Saluran pendidikan juga memainkan peranan yang sangat
penting bagi generasi muda yang bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang
agar tidak terlibat dengan jenayah dan keruntuhan akhlak. Pendidikan dapat
membina pengetahuan, pemikiran yang bijak, rasional, tidak tamak haloba dan
tidak mudah diperdaya oleh orang lain. Dengan mempunyai pegangan hidup dan
pendirian diri yang kukuh maka tidak mudah untuk seseorang ditipu dengan
janji-janji manis sindiket pelacuran. Selain daripada itu, didikan agama dan
pegangan agama yang kukuh adalah sangat mustahak bagi seorang individu.
Individu yang mempunyai pegangan agama yang kukuh tidak akan melakukan perkara
yang boleh merosakkan akhlak dan menyalahi undang-undang. Ibu bapa juga
perlulah memainkan peranan dengan sentiasa memantau dan prihatin terhadap anak-anak
mereka. Ibu bapa perlu mengetahui rakan pergaulan anak mereka supaya tidak
terlibat dengan gejala sosial. Komunikasi dua hala iaitu antara ibu bapa dan
anak adalah lebih baik untuk diamalkan dalam menyelesaikan sebarang konflik dan
permasalahan. Masalah tidak akan selesai dengan cara kekerasan kerana anak-anak
akan lebih memberontak dan lari daripada rumah.Terdapat kajian yang menyatakan
bahawa anak-anak yang dididik di bawah persekitaran yang sihat dan penuh dengan
kasih sayang kurang terjebak dengan gejala sosial yang tidak baik.
Pihak polis perlu berkerjasama dengan polis rantau Asia dan
antarabangsa bagi menghapuskan sindiket pelacuran antarabangsa yang biasanya
melibatkan golongan yang amat berpengaruh. Masalah kegiatan pelacuran ini tidak
akan selesai sekiranya pihak polis hanya dapat menangkap sebahagian kecil
daripada kumpulan sindiket ini. Dengan erti kata lain, pihak polis haruslah
lebih berusaha melancarkan operasi mengejut di kawasan yang sentiasa mendapat
langganan pelacuran yang tinggi. Pemantauan secara berterusan juga perlu
dilakukan bagi membolehkan mereka menangkap dalang sebenar sindiket terbabit.
Manakala pula,masyarakat juga perlu mengambil berat tentang
pelacuran ini dan melaporkan kegiatan pelacuran kepada pihak polis supaya pusat
atau tempat pelacuran dapat dibanteras.
Dari segi pelaksanaan undang-undang, lesen untuk membuka
pusat hiburan seperti disko dan pusat urut haruslah diperketatkan supaya pihak
berkuasa dapat mengawasi segala aktiviti pusat hiburan dengan lebih efektif. Terdapat
banyak hotel-hotel murahan, pusat urut dan disko menjalankan perniagaan
pelacuran di sebalik perniagaan yang sebenar.
Pihak imigresen juga harus memantau semua warga asing yang
masuk ke dalam negara ini sama ada untuk tujuan bekerja atau melancong. Ini
kerana terdapat kes yang mana warga asing yang datang ke Malaysia untuk
melancong tetapi sebaliknya berlaku iaitu mereka bekerja sebagai pelacur.
Banyak sindiket yang menggunakan jalan mudah ini secara berterusan sebagai
laluan utama dalam menjalankan kegiatan pelacuran. Taktik ini dipercayai dapat
mengelak kegiatan mereka daripada dihidu dan seterusnya mengaburi pihak
berkuasa.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya, jika dilihat, kegiatan pelacuran
terus berlaku kerana selagi terdapat permintaan selagi itulah kegiatan
pelacuran akan tetap dijalankan. Seterusnya, semakin giatlah sindiket-sindiket
pelacuran untuk mencari mangsa bagi dijadikan pelacur untuk memenuhi permintaan
pasaran yang ada. Keuntungan yang tinggi hasil perniagaan pelacuran ini
menjadikan mereka tamak dan tidak mengenal erti takut walaupun tindakan
undang-undang boleh dikenakan. Golongan pelacur yang menjadi mangsa perlu
didekati dan diselamatkan agar mereka dapat kembali ke pangkal jalan dan
memulakan sebuah kehidupan baru. Penguatkuasaan undang-undang sedia ada perlu
dipertingkatkan oleh pihak berkuasa dan kesedaran, kerjasama serta rasa
bertanggungjawab dalam anggota masyarakat perlu disemai bagi membantu untuk
membanteras jenayah ini agar tidak terus-menerus mencabuli hak asasi manusia
lain. Dari Statistik Polis Kuala Lumpur menunjukkan permintaan terhadap
kanak-kanak dan wanita sebagai buruh dan untuk kegiatan pelacuran semakin
meningkat. Dari 1 Mei 2004 hingga Mei 2009, sejumlah 117 kanak-kanak dan wanita
warga asing terbabit dalam perhambaan moden di negara ini.
Ulasan
Catat Ulasan