Memandangkan isu ini merupakan satu isu yang panas dan mendapat tempat di hati semua orang, terutama warga pendidik dan ibu bapa, maka saya mengajak anda berfikir adakah kebenaran membawa dan menggunakan telefon bimbit, iPad di sekolah akan membawa kebaikan atau kemudaratan kepada pelajar khususnya dan sekolah amnya.
Kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong bahawa Kementerian Pelajaran sedang merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) yang akan membenarkan pelajar membawa telefon ke sekolah tidak lama dahulu telah mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak. Berita terbaru pula adalah kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Encik Zahid Hamidi melalui akhbar yang menyatakan ada kemungkinan akan membenarkan pelajar sekolah membawa iPad atau tablet ke sekolah. Namun keputusan muktamad belum lagi diambil kerana menurutnya keputusan hanya akan diambil selepas mengambil kira pandangan dan pendapat daripada pelbagai sumber yang berkaitan.
Kenyataan atau pendedahan ini telah mengundang banyak reaksi daripada pelbagai pihak. Ramai yang membantah kerana ternyata ia lebih banyak membawa kesan negatif, terutamanya menggalakkan pelajar leka berhubung sesama sendiri atau dengan orang luar melalui sistem khimat pesanan ringkas (SMS, whatsapp dan seumpamanya. Itu belum lagi dikira pelbagai musibah yang bakal menimpa ekoran penggunaan telefon bimbit yang berleluasa di kalangan pelajar, walaupun tidak dapat dinafikan ada juga kebaikan menggunakan peranti ini.
Pelbagai hujah dan pandangan seluruh warga Malaysia tentang kebenaran penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar ini masih lagi berterusan, dan pihak kementerian pula memberi peluang kepada semua warga negara menyatakan pandangan masing-masing sebelum satu keputusan daripada Kementerian diumumkan kelak.Pada kali ini saya hanya akan berkongsi tentang impak atau kesan negatif penggunaan bimbit atau iPad di sekolah kepada pelajar dan juga kepada sistem pendidikan disekolah.
i) Mendedahkan pelajar kepada penyalahgunaan
- Penggunaan iPad ini sudah semestinya akan meyebabkan pelajar lebih leka dan terarah kepada perkara lain, berbanding matlamat utama iaitu melayari laman pendidikan. Ini memandangkan tiada sekatan atau halangan kepada mereka untuk melayari apa-apa jua laman di dalamnya, dan tiada siapa pula yang akan memantau penggunaan tersebut.
- Rakyat Malaysia ramai yang mengguna laman sosial Facebook, terutama remaja. Untuk pengetahuan, Malaysia berada di tangga ke-16 dalam senarai pengguna Facebook. Jumlah pemegang akaun Facebook di Malaysia ialah sebanyak 8.9 juta, berbanding penduduk negara China seramai 1.34 bilion orang tetapi hanya 83 ribu sahaja yang mempunyai akaun Facebook! Jadi tidak mustahil pelajar akan menyalahguna iPad mereka untuk melayari laman sosial seperti ini.
ii) Meningkatkan masalah moral pelajar
- Pelajar yang membawa telefon bimbit pintar dan iPad ke sekolah sudah pasti membawa banyak masalah. Setelah bosan dengan Facebook, mereka pasti akan melayari internet masuk ke laman-laman web lain, termasuk laman web lucah.
- Menurut Google Trends, Malaysia menduduki tangga ke lapan dalam senarai negara paling banyak melayari laman web lucah.
- Kajian oleh penyelidik Institut Pengajian Sosial Universiti Putra Malaysia pada April 2010, mendapati 22 peratus remaja gemar melayari laman web lucah.
- Para pelajar yang mempunyai telefon juga bebas berbuat apa sahaja. Mereka boleh merakam gambar dan video untuk dimuatnaik dalam laman-laman web video seperti Youtube dan sebagainya untuk disebarkan kepada rakan-rakan di seluruh dunia.
- Sewaktu peperiksaan atau ujian pula, mereka mungkin menyalahgunakan telefon bimbit untuk mendapatkan jawapan dan sebagainya. Ini menggalakkan peniruan sewaktu peperiksaan.
iii) Masalah lain
- Kebenaran membawa telefon bimbit ke sekolah akan menimbulkan satu masalah kawalan kepada para guru kerana mereka akan dibebani dengan tugas mengingatkan pelajar supaya menjaga alatan ini sebaik mungkin dan mengelak daripada kecurian.
- Sesi pengajaran dan pembelajaran pula mungkin tidak dapat dilakukan dengan sempurna di dalam kelas apabila murid berpeluang untuk berinteraksi sesama rakan menggunakan telefon bimbit sewaktu sesi pembelajaran sedang berlangsung. Perhatian dan tumpuan mereka akan terbatas.
- Akan timbul masalah 'inferiority complex' atau perasaan rendah diri kepada pelajar miskin yang tidak mampu membeli alatan canggih ini. Budaya menunjuk-nunjuk mungkin akan subur di kalangan pelajar an menjadikan jurang pemisahan antara golongan kaya dengan miskin semakin luas.
Untuk mengganti membawa telefon bimbit/iPad ke sekolah, beberapa cadangan boleh dipertimbangkan:
i) Dalam memperluaskan 'Pembelajaran Dalam Talian' seperti yand dicadangkan Kementerian Pelajaran, mungkin penggunaan 'netbook' boleh diperluaskan ke seluruh negara, memandangkan sesetengan negeri sudah menggunakan netbook dalam memudahkan pengajaran dan pembelajaran di dalam darjah.Pnggunaan netbook ini sangat berguna jika diaplikasikan secara maksimum di sekolah.
ii) Adalah lebih baik jika setiap bilik darjah itu dilengkapkan dengan sekurang-kurangnya sebuah komputer meja dan sebuah projektor yang dibeli secara berkongsi oleh murid-murid dengan cara menyumbang RM10 seorang. Manakala ibu bapa yang berpendapatan tinggi menderma dengan jumlah yang lebih besar. Sehingga kini, tidak banyak sekolah yang mempunyai komputer di setiap kelas. Kalau ada pun, komputer hanya ditempatkan di makmal komputer.
iii) Ibu bapa yang berpendapatan tinggi boleh memainkan peranan dengan menderma sebuah komputer. Komputer dengan perisian sederhana tidaklah begitu mahal harganya. Tidak sampai RM2,000 berbanding iPad yang sudah mencecah RM2,000. Barangkali sudah tiba masanya ibu bapa yang berpendapatan tinggi memberi sumbangan untuk sekolah anak-anak mereka. Ibu bapa tidak seharusnya lupa bahawa kejayaan yang telah mereka capai dan nikmati adalah hasil daripada sistem pendidikan negara yang mantap dan percuma. Jadi, inilah masanya untuk membalas budi baik kerajaan dengan cara menyumbang kepada sistem pendidikan negara.
iv) Penggunaan telefon pejabat hendaklah dipertingkatkan sebagai galakan kepada pelajar berhubung dengan ibu bapa sekiranya ada sesuatu hal atau kecemasan. Jadikan suasana pejabat sekolah itu 'mesra pelajar' kerana kebanyakan pelajar berasa malu atau segan untuk masuk ke pejabat sekolah.
v) Pondok telefon awam di sekitar sekolah hendaklah sentiasa dipantau atau disenggara supaya sentiasa berada dalam keadaan baik. Biasanya, keadaan pondok telefon awam sangatlah mendukacitakan dan terdedah kepada vandalisme. Oleh itu, pihak berkuasa mahupun pihak sekolah mungkin boleh membantu mengawasi penggunaan telefon awam ini, untuk kebaikan bersama.
Rujukan:
Hshamuddin Rushdi. (21012) Malajah Kuntum. Star Publications Malaysia Berhad>
Rujukan:
Hshamuddin Rushdi. (21012) Malajah Kuntum. Star Publications Malaysia Berhad>

Ulasan
Catat Ulasan